Tuesday, July 8, 2008

Angkasa mesti ada pemimpin baru

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) ditubuhkan sejak 37 tahun lalu. Angkasa yang dipimpin Prof Diraja Ungku Aziz berjaya membina imej sehingga memberikan impak besar terhadap sektor kewangan negara menerusi beribu-ribu koperasi yang dinaunginya.

Kini, Angkasa mengurus transaksi kewangan purata RM1 juta sehari dan memiliki aset terkumpul berjumlah RM 3.5 bilion dengan mencecah sejuta ahli.

Selama Angkasa beroperasi, tidak pernah timbul masalah sehingga akhbar melaporkan berita pemecatan Pak Ungku sebagai Yang Dipertua yang tidak diiktiraf Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Anggota koperasi tentu tertanya-tanya; tak ada angin, tak ada ribut, bila pula Pak Ungku dipecat? Siapa yang memecat dan mengapa dipecat? Bukankah Pak Ungku dinobatkan sebagai Yang Dipertua seumur hidup?

Rupa-rupanya tempias kemelut politik negara turut memberi kesan kepada Angkasa. Selama ini tiada siapa tahu ada kemelut dalam bentuk tertentu berakar umbi dalam Angkasa. Walaupun berita dipapar itu menunjukkan pemecatan Pak Ungku tidak sah, yang pasti ‘tiada angin, masakan pokok bergoyang’.

Apakah Angkasa, khususnya dan gerakan koperasi negara perlu direformasi? Soalan ini sebenarnya dijawab Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika lawatannya ke Jepun.

Pak Ungku adalah tokoh pemikir ekonomi Melayu paling hebat. Siapa boleh menafikan ideanya sehingga tertubuhnya Tabung Haji dan Angkasa itu sendiri. Pak Ungku melalui majalah Pelancar (terbitan Jabatan Koperasi) keluaran Jun itu menjawab tujuh pertuduhan yang membawa kepada pemecatannya.

Ternyata ada logik dalam jawapannya. Namun, ada juga logik dalam semua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Jadi, sebagai anggota biasa dalam gerakan koperasi, siapa yang harus kami percaya sekarang ini? Siapa sebenarnya yang salah laku? Kami tidak mahu kerana ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’. Selamatkah aset kami yang mencecah berbilion itu?

Saya fikir, seperti suara dalam senario politik negara yang mahukan transformasi dilakukan, khususnya dengan memberi lebih peluang kepada golongan muda dan yang masih segar serta bertenaga untuk menampilkan bakat kepemimpinan, Angkasa perlu melakukan perubahan sama.

Pak Ungku sudah hampir empat dekad memimpin Angkasa dan gerakan koperasi. Sudah sampai masanya, Pak Ungku memberi peluang kepada generasi pelapis untuk menerajui Angkasa. Bagi kebanyakan anggota, permintaan ini bukan bermakna Pak Ungku tidak relevan lagi, tetapi jika tidak diasuh dan diuji kepemimpinan baru, apa akan jadi apabila Pak Ungku sudah tiada nanti.

Sementara Pak Ungku masih ada, sebarang keterlanjuran boleh Pak Ungku tegur.

Jika perlu Pak Ungku mengambil alih semula, itu masih boleh dilakukan. Tempoh 37 tahun memimpin Angkasa menjadikan Pak Ungku seorang yang sangat pakar dalam hal kepemimpinan Angkasa. Setiap tindak-tanduk sumbang yang berlaku, Pak Ungku boleh memperbetulkan.

Kita harus menerima hakikat, dengan aset begitu banyak dan keanggotaan besar, Angkasa sedikit sebanyak berjaya membawa orang Melayu keluar daripada belenggu kemiskinan.

Orang Melayu kini sudah boleh bersaing dengan kaum lain dan tidak terlalu bergantung kepada subsidi dan taraf Bumiputera.

Berita Harian (09 July 2008)

DR SHARIFUDIN LUBIS,
Universiti Putra Malaysia
Serdang, Selangor.